PBB gesa keganasan terhadap kanak-kanak di selatan Thai dihentikan

BANGKOK, 21 Mac (Bernama) — Beberapa wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Thailand menggesa agar keganasan terhadap kanak-kanak di selatan Thai segera dihentikan berikutan beberapa serangan terhadap pelajar sekolah yang berlaku baru-baru ini.

Residen Penyelaras PBB di Thailand Joana Merlin-Scholtes berkata agensi-agensi badan dunia itu yang beroperasi di negara ini amat bimbang dengan keganasan yang berterusan terhadap pelajar sekolah di wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.

“Mula-mula kami lihat sekolah dan guru diserang… kini kanak-kanak pula menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dua pelajar terbunuh dan lapan lagi cedera apabila sebuah sekolah berasrama di Songkhla diserang manakala lima pelajar sekolah rendah cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata api menembak bas yang mereka naiki di Narathiwat.

Dalam satu kejadian di Wilayah Yala, dua gadis belasan tahun terbunuh ketika dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan.

Akhir tahun lepas, beberapa kes membakar sekolah dan menyerang guru berlaku di wilayah yang bergolak itu hingga menyebabkan banyak sekolah terpaksa ditutup sementara.

“Ini memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak dalam masyarakat wilayah selatan dan menyumbang kepada wujudnya suasana takut di wilayah berkenaan. Serangan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah bertentangan dengan semua norma dan langsung tidak boleh diterima,” kata Merlin-Scholtes.

Wakil Unicef di Thailand, Tomoo Hozumi berkata keganasan itu perlu dihentikan agar semua kanak-kanak dapat belajar di sekolah dalam suasana selamat dan terjamin.

“Pelajaran adalah kunci bagi pembangunan pada masa kini dan masa akan datang di selatan Thailand, oleh itu semua sekolah wajar dan mesti dianggap sebagai zon aman,” katanya.

Dianggarkan, sejak konflik melanda wilayah itu tiga tahun lepas, lebih 2,100 nyawa, termasuk 60 guru terkorban dan mengakibatkan lebih 100 sekolah dibakar.

Pengarah Unesco Bangkok Sheldon Shaeffer berkata sekolah di selatan Thai sepatutnya menjadi tempat perlindungan bagi kanak-kanak.

“Sekolah yang benar-benar mesra kanak-kanak dengan kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dihormati serta diterima baik boleh memberi sumbangan besar terhadap usaha menyekat peningkatan keganasan terhadap kanak-kanak dalam jangka panjang,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: