PBB gesa keganasan terhadap kanak-kanak di selatan Thai dihentikan

March 21, 2007

BANGKOK, 21 Mac (Bernama) — Beberapa wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Thailand menggesa agar keganasan terhadap kanak-kanak di selatan Thai segera dihentikan berikutan beberapa serangan terhadap pelajar sekolah yang berlaku baru-baru ini.

Residen Penyelaras PBB di Thailand Joana Merlin-Scholtes berkata agensi-agensi badan dunia itu yang beroperasi di negara ini amat bimbang dengan keganasan yang berterusan terhadap pelajar sekolah di wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.

“Mula-mula kami lihat sekolah dan guru diserang… kini kanak-kanak pula menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dua pelajar terbunuh dan lapan lagi cedera apabila sebuah sekolah berasrama di Songkhla diserang manakala lima pelajar sekolah rendah cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata api menembak bas yang mereka naiki di Narathiwat.

Dalam satu kejadian di Wilayah Yala, dua gadis belasan tahun terbunuh ketika dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan.

Akhir tahun lepas, beberapa kes membakar sekolah dan menyerang guru berlaku di wilayah yang bergolak itu hingga menyebabkan banyak sekolah terpaksa ditutup sementara.

“Ini memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak dalam masyarakat wilayah selatan dan menyumbang kepada wujudnya suasana takut di wilayah berkenaan. Serangan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah bertentangan dengan semua norma dan langsung tidak boleh diterima,” kata Merlin-Scholtes.

Wakil Unicef di Thailand, Tomoo Hozumi berkata keganasan itu perlu dihentikan agar semua kanak-kanak dapat belajar di sekolah dalam suasana selamat dan terjamin.

“Pelajaran adalah kunci bagi pembangunan pada masa kini dan masa akan datang di selatan Thailand, oleh itu semua sekolah wajar dan mesti dianggap sebagai zon aman,” katanya.

Dianggarkan, sejak konflik melanda wilayah itu tiga tahun lepas, lebih 2,100 nyawa, termasuk 60 guru terkorban dan mengakibatkan lebih 100 sekolah dibakar.

Pengarah Unesco Bangkok Sheldon Shaeffer berkata sekolah di selatan Thai sepatutnya menjadi tempat perlindungan bagi kanak-kanak.

“Sekolah yang benar-benar mesra kanak-kanak dengan kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dihormati serta diterima baik boleh memberi sumbangan besar terhadap usaha menyekat peningkatan keganasan terhadap kanak-kanak dalam jangka panjang,” katanya.


Tiada penyelesaian di Patani, rakyat perlu tuntut kuasa

March 21, 2007

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) – “Rakyat Patani dicadangkan agar dapat menyerahkan refendum bagi menuntut kuasa autonomi daripada kerajaan Thailand untuk menyelesaikan konflik di sana,” kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> Beliau berpendapat, selagi mana Patani berada di bawah pemerintahan kerajaan Thailand, mereka tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku antara kedua-dua kumpulan yang bertelagah.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> Mohamad berkata, pada masa yang sama kerajaan Thailand dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah ini yang semakin kronik, bahkan juga gagal membangunkan Selatan Thailand tersebut.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> “Lebih baik kita membiarkan mereka menentukan sendiri halatuju mereka dan saya yakin keadaan akan menjadi semakin baik kerana hanya rakyat di sana yang lebih mengetahui cara untuk mengatasi situasi yang bergolak di sana.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> “Saya melihat tiada kesan terhadap hubungan diplomatik yang telah terjalin dengan beberapa negara lain,juga tidak perlu campurtangan daripada mana-mana pihak dalam mengembalikan semula keamanan di Patani,” tambah beliau lagi.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> Terbaru, tiga lagi penduduk telah ditembak mati dalam serangan terbaru di wilayah selatan semalam ketika Ketua Junta mengadakan lawatan ke wilayah yang dilanda ketegangan sejak lebih tiga tahun lalu.

<!–[if !supportEmptyParas]–><!–[endif]–> Kesemua mangsa adalah pekerja wanita bagi projek pertanian kerajaan terbunuh apabila mereka ditembak lelaki bermotosikal dalam kejadian awal pagi di Patani, salah satu wilayah yang dilanda keganasan bersempadan dengan Malaysia.


PAS kecam pembunuhan ke atas umat Islam di Selatan Thailand

March 21, 2007

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh) – Selepas ‘tragedi berdarah’ membabitkan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di sekitar Selatan Thailand akhir tahun 2005, negara ‘Gajah Putih’ itu turut disaksikan dengan kejatuhan Perdana Menterinya, Thaksin Sinawatra yang digulingkan oleh tentera negara itu akhir tahun lalu.

Namun negara jiran Malaysia itu yang akhirnya dipimpin oleh tentera dengan Perdana Menterinya, General Surrayudh Chulanont tidak banyak mengubah nasib umat Islam sebagai golongan minoriti di Thailand malah, terkini, konflik Selatan Thailand merebak ke Songkla dengan tiga pelajar terbunuh dan tujuh lagi cedera setelah sebelum ini banyak nyawa terkorban dalam pertempuran lain.

Mengulas tragedi itu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, PAS mengecam keras pembunuhan tiga pelajar sekolah agama di Songkhla itu.

“Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan PAS mengutuk keras kekejaman yang berulang di zaman pemerintahan tentera yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Surrayudh ini,”katanya.

Baginya sejarah telah membuktikan bahawa tentera negara Thailand mempunyai rekod buruk dalam melayan hak asasi masyarakat Islam Selatan Thailand dengan tindakan kejam meskipun pimpinan negara silih berganti, kata Syed Azman yang dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam hal ini sikap PAS jelas bahawa pelbagai laporan yang dikeluarkan dalam media yang menyatakan punca keganasan adalah dari perbuatan umat Islam adalah sama sekali dicurigai, kata Syed Azman.

“Keganasan tentera Thailand ke atas umat Islam bukan benda baru dan dunia mengetahui sejarah ini, justeru laporan yang mendakwa umat Islam bertindak ganas adalah tidak tepat,” katanya.

Dalam hal terbabit beliau tidak menolak kemungkinan PAS dan beberapa NGO lain akan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Thailand seperti yang pernah dilakukan sebelum ini ketika isu tragedi berdarah di Selatan Thailand berlaku.

“Kita akan bermesyuarat esok dan kita akan putuskan tindakan seterusnya, dan bagi PAS kita sentiasa mengadakan beberapa langkah mempertahankan hak umat Islam di Thailand,” katanya jelas.

Konflik di Selatan Thailand merebak ke wilayah Songkla semalam dengan tiga pelajar terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sekumpulan penyerang melontar bahan letupan dan melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah agama di selatan negara ini.

Akhbar harian melaporkan, jurucakap polis, Kolonel Thammasak Wasaksiri berkata, serangan itu berlaku lewat malam tadi di Bamrungsart Pohnor, sebuah madrasah berasrama di daerah Sabayoi, Songkhla.

Penyerang melepaskan berpuluh-puluh tembakan ke arah bilik asrama sekolah agama itu yang menempatkan kira-kira 75 pelajar lelaki yang sedang tidur, kata pegawai itu.

Seorang pelajar berusia 12 tahun dan dua berumur 14 tahun terbunuh dalam serangan itu, katanya.

Tujuh pelajar berusia antara 13 hingga 17 mendapat rawatan kerana cedera akibat terkena tembakan.

Thammasak berkata, polis percaya kumpulan pemisah Islam melancarkan serangan itu dan berharap untuk meyakinkan penduduk Islam tempatan bahawa pihak berkuasa yang mendalangi keganasan.

Pemisah berbuat demikian sebagai helah untuk mendapatkan sokongan penduduk kampung terhadap perjuangan mereka, dakwanya.

Bagaimanapun, beratus-ratus penduduk kampung Islam mengadakan protes pagi ini dengan menyatakan mereka tidak percaya orang Islam melancarkan serangan itu.

“Penduduk kampung menuduh askar payung terjun menyerang madrasah itu,” kata Thammasak.

Serangan bom dan tembakan yang dilepaskan dari kenderaan bergerak berlaku hampir setiap hari di tiga wilayah majoriti Islam di selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani dan semakin kerap di wilayah berhampiran, Songkhla.

Walaupun guru beragama Buddha menjadi sasaran serangan, kanak-kanak sekolah pada umumnya terlepas daripada keganasan itu.

Negara ini digemparkan oleh satu serangan kejam minggu lepas apabila sekumpulan lelaki menyerang hendap sebuah bas di Yala dan membunuh lapan penumpang dengan menembak kepala mereka.

Insiden pada Rabu lalu itu disusuli pada malamnya dengan satu letupan bom di sebuah masjid dan satu serangan bom tangan yang membunuh dua penduduk Islam di sebuah kedai kopi.

Tentera Thai mengenakan perintah berkurung di dua daerah di Yala pada Khamis lalu.

Jurucakap tentera, Kolonel Akara Thiprot berkata, langkah itu merupakan kali pertama tentera mengenakan perintah berkurung di wilayah berkenaan sejak Januari 2004.


Kehilangan Penduduk Angkara Pasukan Keselamatan, Dakwa HRW

March 21, 2007

BANGKOK, 20 Mac (Bernama) — Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), berkata pasukan keselamatan Thailand tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggotanya yang dikatakan bertanggungjawab atas kehilangan penduduk wilayah selatan negara itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan di New York dan di sini, HRW berkata ia mendapati kebanyakan yang hilang tanpa kesan itu adalah mereka yang disyaki oleh polis dan tentera sebagai militan, penyokong keganasan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian serangan.

“Pasukan keselamatan Thailand menggunakan taktik itu sebagai cara untuk melemahkan militan dan menyemai rasa ketakutan di kalangan masyarakat Islam. Ini nampaknya perkara dasar dan bukan kerja orang jahat dalam pasukan keselamatan,” kata Pengarah HRW Asia Brad Adams.

Katanya kerajaan harus mengeluarkan kenyataan awam mengenai dasar menentang insiden kehilangan penduduk dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Ketika kebanyakan kes kehilangan penduduk berlaku semasa pemerintahan Thaksin Shinawatra, ramai pegawai kanan tentera dan polis yang melaksanakan dasar itu masih bertugas. Thaksin mengakui insiden seperti itu pada 2005 tetapi belum ada sebarang langkah untuk menghentikannya atau menghukum mereka yang bertanggungjawab,” kata Adams.

Laporan 69 muka-surat itu bertajuk: “It Was Like Suddenly My Son No Longer Existed: Enforced Disappearances in Thailand’s Southern Border Provinces,” memberi butiran 22 kes kehilangan tanpa kesan yang belum diselesaikan di mana keterangan kukuh menunjukkan pasukan keselamatan Thailand terbabit.

HRW berkata laporan itu berdasarkan temubual dengan ramai saksi, keluarga mangsa dan para pegawai Thailand sejak Februari 2005.

Menurut laporan itu, jumlah sebenar kehilangan penduduk besar kemungkinan tidak dilaporkan berikutan ramai keluarga mangsa hanya berdiam kerana takut dengan tindakan balas pihak berkuasa dan kurang keberkesanan hak perlindungan saksi.

HRW berkata kehilangan penduduk etnik Melayu Islam yang disyaki terbabit dalam pemberontakan di wilayah itu bermula beberapa hari selepas Thaksin menekan pasukan polis dan tentera supaya segera menahan mereka yang bertanggungjawab menyerang sebuah kem tentera di wilayah Narathiwat pada 4 Jan 2004.

Selepas penggulingan Thaksin 19 Sept tahun lepas, pemimpin kerajaan yang disokong tentera Jeneral Surayud Chulanont mengakui masalah di wilayah selatan itu dan berjanji memperkenalkan pendekatan mesra berbanding langkah keras Thaksin.

“Namun kerajaan Surayud hanya melakukan usaha kecil untuk mengotakan janji-janji itu,” kata HRW.

HRW juga berkata agensi kerajaan khususnya polis, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan juga gagal menjalankan siasatan penuh dan adil terhadap kes kehilangan itu.

Menurut laporan HRW, kebanyakan daripada 22 keluarga mangsa berkata mereka menerima bantuan kewangan sebanyak Bt100,000 (RM10,675) dari kerajaan tetapi mereka tidak menanggap pampasan itu sebagai menggantikan siasatan serius bagi mengesan anggota keluarga yang hilang.

HRW berkata kerajaan Thailand harus mengambil langkah menghentikan perbuatan itu dan menjadikan ia sebagai kesalahan jenayah dan mendakwa mereka yang terbabit.